1199 Panigale



Ducati 1199 Panigale telah dilancarkan di pertunjukkan EICMA International Motorcycle Show di Milan pada 10-13 November 2011. Panigale merupakan model motosikal pengeluaran berenjin L-kembar (V-kembar pada kedudukan 90 darjah) yang paling berkuasa pernah dikeluarkan syarikat pengeluar motosikal Itali itu.
Model ini tentunya tidak akan mengecewakan peminat superbike dengan pelbagai inovasi yang ditawarkannya. Walaupun dengan peningkatan kuasa sebanyak 20hp, ia 10kg lebih ringan berbanding model 1198 terdahulu dan merupakan superbike paling ringan dalam kelasnya setakat ini, dengan berat kering hanya 164kg dan mampu menjana 195hp kuasa pada 10,750rpm.
Pelarasan injapnya hanya perlu dibuat setiap 15,000 batu berbanding 7,500 batu bagi model terdahulu, dan ‘timing belt’ pula digantikan dengan kombinasi rantai dan gear. Model Ducati ini juga kini menggunakan sistem klac basah dengan kawalan gelinciran (slipper clutch) berbanding klac kering seperti tradisi mereka dahulu.
Penggunaan sistem injap desmodromik yang menggunakan aci sesondol kedua untuk menggantikan gelung bagi menutup injap-injap telah membolehkan penggunaan konfigurasi ‘oversquare’ yang tinggi, iaitu dengan saiz omboh atau piston sebesar 112mm berbanding lejang atau jarak perjalanan piston sebanyak 60.8mm. Enjin sebegini sememangnya terkenal kerana kemampuan berputarnya yang amat laju.
Dilengkapi sistem brek ABS, kawalan cengkaman (traction control), tunggang-dengan-wayar (ride-by-wire) dan kawalan brek enjin , model Panigale ini juga didatangkan dengan DES (Ducati Electronic Suspension) iaitu pelarasan suspensi secara elektronik untuk penyerap hentak Öhlins NIX30 dan TTX-36 Shock untuk bahagian belakang bagi model ‘S’nya.

FAKTA NOMBOR 
4
Bilangan injap per silinder

112mm x 60.8mm
Saiz liang dan lejang

195hp @ 10,750rpm
Kuasa maksimum

132Nm @ 9,000rpm
Tork maksimum

6-kelajuan
Transmisi dengan klac basah





Related Posts